GEORGETOWN: Lebih 100 penumpang mengalami detik mencemaskan apabila feri yang mereka naiki dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), di sini tiba-tiba berhenti dan dihanyutkan arus dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku ekoran feri mengalami kerosakan teknikal dan menyebabkan enjin terpaksa dihentikan buat sementara.

Bagaimanapun, dalam insiden itu kesemua penumpang dilaporkan selamat dan meneruskan semula perjalanan mereka.

Jurucakap Rapid Ferry Sdn Bhd, dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook memohon maaf kepada semua penumpang yang terbabit dalam insiden itu.

Menurut kenyataan itu, pihak Rapid Ferry mengambil langkah menggunakan kapal tunda untuk menyelamatkan penumpang di atas feri berkenaan dalam tempoh masa selama 18 minit.

“Semasa kejadian terdapat kira-kira 62 penumpang, 27 kereta dan 49 motosikal. Kesemua mereka selamat dan meneruskan perjalanan seperti biasa,” katanya.

Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan – berita harian