IPOH : Bilangan penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini meningkat sebanyak 18.7 peratus sehingga Oktober tahun lalu.

Exco Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, bagi tempuh tersebut, seramai 374, 752 penumpang menggunakan lapangan terbang berkenaan, berbanding 315,673 orang sepanjang tahun 2018.

Beliau yakin, berdasarkan rekod peningkatan yang dicatatkan sejak 2017, bilangan itu akan terus meningkat tahun ini, lebih-lebih lagi dengan pewartaan Pangkor Pulau Bebas Cukai dan Tahun Melawat Malaysia 2020(TMM2020).

“Tahun 2018, bilangan penumpang yang menggunakan LTSAS meningkat kira-kira 15 peratus, berbanding seramai 276,000 tahun 2017,” katanya dalam sidang media sebelum menyambut pelancong sempena TMM2020 di LTSAS di sini, hari ini.

Beliau turut yakin kedatangan pelancong antarabangsa ke Perak akan terus meningkat berbanding
291,253 pengunjung pada 2018 yang mencatakan peningkatan hampir 9%, berbanding tahun sebelumnya.

Pada majlis itu, beliau menyambut ketibaan kumpulan pertama penerbangan Flyscoot dan Air Adia dari Singapura.

Acara sambutan diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi korporat yang terlibat dalam industri pelancongan.

Antara aktiviti yang turut diadakan ialah persembahan kebudayaan, demonstrasi serta jualan hasil kraftangan seperti labu sayong, seni tekatan benang emas, anyaman rotan dan mencanting batik.

Malaysia telah menetapkan sasaran 30 juta pelancong luar serta hasil pendapatan RM100 bilion sempena TMM2020.