TAPAH 20 Dis. – Kesemua penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres terselamat apabila kenderaan tersebut terbakar di Kilometer 353.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.01 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Butterworth.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berlaku apabila brek tayar belakang bas tersebut terlekat dan terbakar.

“Seorang pemandu, 16 penumpang dewasa dan dua kanak-kanak yang menaiki bas tersebut terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kejadian diklasifikasi sebagai kes kebakaran,” katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, seorang pemandu maut apabila lori yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori lain di KM 316.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi itu menyebabkan Abd Halim Rashid, 47, tersepit dan maut di tempat kejadian.

Wan Azharuddin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sewaktu mangsa sedang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara.

“Lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori lain di hadapannya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian sementara pemandu sebuah lori lain yang dirempuhnya tidak cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE