WASHINGTON : Seorang penunggang basikal gunung maut, manakala rakannya cedera parah dibaham seekor singa gunung di sebuah kawasan hutan berdekatan North Bend di sini, kira-kira 48 kilometer dari timur Seattle, semalam, kes kedua seumpamanya dalam tempoh 100 tahun di Amerika Utara.

Jurucakap pejabat sherif King County, Sarjan Ryan Abbot berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi waktu tempatan apabila kedua-dua mangsa bertembung dengan haiwan berkenaan ketika sedang menunggang basikal di lokasi kejadian.

Menurut beliau, penunggang pertama diserang terlebih dulu dan mengalami kesan luka agak yang dalam manakala penunggang kedua diseret oleh singa gunung itu ke habitatnya di dalam hutan berhampiran.

“Mangsa yang cedera mengayuh basikal sejauh 3.2 kilometer untuk menghubungi talian kecemasan 911 dan meminta bantuan.

“Pihak polis memandu sepanjang laluan itu sebelum menemui basikal milik mangsa dan masuk ke dalam hutan berkenaan. Mereka melihat singa gunung itu berdiri di atas mayat mangsa,” katanya.

Abbot memberitahu, polis terpaksa melepaskan tembakan, menyebabkan haiwan terbabit lari dan menggunakan khidmat anjing pengesan untuk menjejak singa gunung itu sebelum membunuhnya.

Serangan singa gunung di Amerika Utara lebih 100 tahun lalu lazimnya hanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana mereka mudah ditumpaskan.

Kes terbaru ini adalah serangan kedua membabitkan kematian sejak satu abad lalu- Reuters