LUNDU: Seorang lelaki maut dalam keadaan menyayat hati apabila kaki kanannya putus selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan lori di Jalan Lundu- Sempadi, berhampiran Kampung Temelan Dayak, petang semalam.

Kejadian jam 3.30 petang itu menyebabkan Mohammad Saffik Merjalis, 22, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang Yamaha LC cuba memotong sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, namun mangsa gagal memotong dan masuk semula ke laluan asal menyebabkan dia merempuh lori dari arah bertentangan.

“Mangsa merempuh bahagian pemijak kaki lori berkenaan sehingga menyebabkan kaki kanannya putus.

“Pasukan perubatan dari Hospital Lundu yang dipanggil ke lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson berkata, lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lundu untuk bedah siasat dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori terbabit.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian