TAIPING: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Batu 9,Simpang Tiga,Jalan Sitiawan-Taiping pada pagi Rabu.

Dalam kejadian sekitar 10 pagi itu, mangsa, Jefrin Badarudin,40, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex5 telah bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Honda City yang menyebabkannya terpelanting ke laluan bertentangan.

“Siasatan awal mendapati mangsa baru sahaja keluar daripada simpang Changkat Ibol menghala ke Terong sebelum sebuah kenderaan dari arah Taiping tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lori dari hala Terong telah menggilis mangsa yang terjatuh di laluan bersebelahan,”katanya.‎

Katanya, akibat insiden itu mangsa yang berasal dari Jalan Pechah Batu, Trong kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Harrith Kam berkata siasatan lanjut mendapati kedua hala jalan mempunyai dua lorong dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Pihak polis akan meneruskan sisatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi.