TAPAH 28 Dis. – Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Pekan Pasir, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.25 petang itu, Lim Kuan Yew, 45, yang menunggang motosikal jenis SYM 90cc maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian kereta jenis Proton Saga yang dipandu remaja berusia 18 tahun itu dalam perjalanan ke arah Teluk Intan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja terbabit melanggar motosikal mangsa yang keluar dari simpang di sebelah kiri jalan.

“Mangsa yang parah maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. Siasatan terhadap pemandu kereta berkenaan mendapati remaja itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE