IPOH: Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret oleh sebuah kereta sejauh 25 meter di atas jalan raya berdekatan Balai Polis Kampung Rapat di sini pada petang Ahad.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.

“Anggota telah menerima panggilan sekitar jam 3 petang dan setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta.

“Kemalangan berlaku apabila dua buah motosikal tersebut dipercayai berlanggar dan seorang mangsa telah tercampak ke tengah jalan lalu dilanggar oleh sebuah kereta sebelum diseret sejauh 25 meter,” katanya.

Tambah beliau, anggota bomba terpaksa mengangkat kereta tersebut dengan menggunakan airbag bagi menarik mangsa keluar dari bawah kenderaan tersebut.

“Anggota juga telah memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala seorang lagi penunggang motosikal yang turut tercedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan susulan,” jelas beliau.