KUALA KURAU- Seorang penunggang motosikal berumur 18 tahun maut setelah ditimpa sebatang pokok kelapa di Kampung Parit Abas, di sini pada Sabtu.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut kira-kira jam 3 petang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati ada sebatang pokok kelapa telah tumbang dan menimpa mangsa yang melalui jalan tersebut.

“Mangsa seorang lelaki berumur 18 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans,”katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya lagi, anggota bomba menguruskan mangsa dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Kerja-kerja pemotongan pokok dilakukan dan operasi tamat pada jam 4.32 petang.