Oleh:Nazialita Geynna Maharan
KAMPAR: Seorang lelaki maut apabila motosikal Yamaha 15ZR yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 307, Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Gua Tempurung awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 3 pagi tersebut, mangsa, Kasmirudin Karunie,35, dipercayai sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang apabila motosikalnya terbabas di pembahagi jalan dan maut serta merta.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata motosikal yang ditunggang mangsa cuba mengelak sebuah lori namun gagal dan menyebabkannya terbabas.
“Pada masa yang sama, sebuah lagi motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditunggang seorang remaja berusia 19 tahun datang dan gagal mengelak daripada merempuh motosikal mangsa.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal kedua tersebut sempat menyelamatkan diri ke bahagian tepi kiri jalan sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton merempuh kedua-dua motosikal tersebut.
“Kenderaan pacuan empat roda itu turut mengheret  motosikal yang ditunggang remaja itu sebelum kedua-dua kenderaan terbakar pada lorong kanan,”katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, hasil bedah siasat mendapati Kashmirudin meninggal dunia berikutan impak kemalangan tersebut manakala penunggang remaja itu mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun, Kong Soon berkata pihaknya masih cuba mengesan pemandu Triton yang gagal ditemui di lokasi kejadian.
“Kami tidak dapat mengesan pemandu yang membawa Mitsubishi Triton bernombor plat NCR 8068 kerana dipercayai melarikan diri meninggalkan tempat kejadian.
“Kami telah berjaya mengesan identiti pemandu tersebut namun kami minta pemandu itu tampil bagi membantu siasatan,”katanya lagi.