JOHOR BAHRU: Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya patah kaki kiri apabila motosikal Honda Wave dinaiki mereka merempuh belakang van Toyota Hiace di Kilometer 46.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Kulai, Johor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian jam 9.27 malam itu, penunggang Muhammad Azif Daniel Johar, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, pembonceng motosikal itu, Harith Danial Ma’amur, 19, patah kaki kiri manakala pemandu van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal, kami dapati pemandu van berkenaan meletak kenderaan di lorong kecemasan apabila tayar depan mengalami kerosakan dan memasang lampu kecemasan sebagai tanda amaran.

“Malangnya, penunggang dipercayai tidak menyedari lampu amaran itu lalu merempuh belakang van berkenaan menyebabkan mangsa dan rakannya tercampak ke sebelah kiri laluan berkenaan.

“Mangsa yang beralamat terakhir di Taman Sri Pandan, Johor Bahru, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Rakannya dari Taman Plentong Baru, Masai, patah kaki kiri dan dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu van yang juga warga Singapura tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang selepas polis mengambil keterangannya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan – berita harian