Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan di Chepor dekat sini, pada Isnin.
Akibat kemalangan itu, lelaki tersebut dan motosikalnya terperosok di bawah lori berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kren untuk mengalihkan lori itu bagi mengeluarkan mayat mangsa.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada pukul 12.51 tengahari lalu bergegas ke tempat kejadian di hadapan Sekolah Rendah Agama al-Ummah, Chepor.

“Setibanya di situ, kami mendapati sebuah motosikal jenis Honda EX5 telah berlanggar dengan sebuah lori dan mangsa serta motosikal terperosok di bahagian bawah lori berikutan impak kemalangan.

“Pasukan bomba yang bertugas kemudian menggunakan kren untuk mengalihkan kenderaan terbabit dan menjalankan operasi mengambil mangsa,” katanya.

Jelasnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Khamis Harun itu mengambil masa kira-kira dua jam dan tamat pada pukul 2.30 petang,” katanya lagi.