SLIM RIVER: Seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) maut manakala rakannya parah apabila Toyota Innova yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 375.6 Lebuhraya Utara-Selatan, hala selatan, dekat sini, jam 11.25 malam tadi.

Dalam kejadian itu, kenderaan mangsa yang terbabas dirempuh dua kenderaan iaitu Mercedes Benz dan Proton Exora.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mangsa yang maut dan parah berusia 20 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor.

Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Seri Iskandar ke Kampung Melayu Subang Tambahan, Shah Alam.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum berpusing dan berhenti di lorong tengah di lebuh raya.

“Ketika itu juga datang dua lagi kenderaan dari arah yang sama terus melanggar kenderaan mangsa kerana tidak sempat mengelak. Kemalangan itu menyebabkan pemandu Toyota Innova maut di tempat kejadian dan rakannya parah.

“Pemandu dua lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat pemandu Toyota Innova dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya manakala rakannya yang parah kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh – berita harian