IPOH: Penutupan Klinik Kesihatan serta Balai Polis Tanjung Rambutan adalah bertujuan untuk proses nyah cemar dan bukannya disebabkan ada kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, terdapat berita palsu yang disebarkan kepada orang ramai di media sosial, kononnya penutupan itu ada kaitan dengan kes Covid-19 dalam kalangan barisan hadapan.

“Sebaran meluas sejak sehari dua ini di media sosial adalah palsu, tujuan penutupan Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan dan Balai Polis Tanjung Rambutan adalah untuk nyah cemar.

“Memandangkan kedua tempat ini antara yang menjadi tumpuan ramai di dalam daerah Kinta ini, proses nyah cemar ini memang sudah ditentukan dan bukannya disebabkan positif Covid-19,” katanya.

Muhamad Arafat berkata demikian kepada pemberita berhubung sebaran itu di media sosial pada Sabtu.

Dalam pada itu, dia turut menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan sebarang berita dan merujuk dahulu kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Orang ramai sewajarnya mendapatkan kepastian dari pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), apa-apa berita yang diterima jangan bulat-bulat disebarkan kepada orang lain.

“Sebaran luas itu telah menyebabkan panik di kalangan rakyat, ada yang nak pergi klinik pun jadi takut disebabkan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, dia turut menafikan sebaran senarai yang tular kononnya pecahan lokaliti mengenai kawasan red zone atau individu yang ramai disahkan positif Covid-19 di Kinta.

“Saya difahamkan senarai pecahan lokaliti itu adalah untuk pengagihan bantuan rakyat, ia selalunya dibuat oleh Pejabat ADUN, Pejabat Parlimen dan Daerah.

“Ada individu yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan senarai tersebut dan sebarkan kononnya itu kawasan yang disahkan merah (Covid-19) dan sebagainya, itu tidak benar,” katanya lagi.