IPOH: Animation Theme Park (ATP) melalui Messr, Ernst & Young PLT yang bertindak selaku ‘Receiver and Manager’ (R&M) Movie Animation Park Studios (MAPS) memberi komitmen untuk melunaskan bayaran tertunggak dianggarkan RM1.2 juta kepada semua 217 orang pekerja hujung bulan ini.

Bayaran itu meliputi bayaran gaji tertunggak, bayaran pampasan gaji sebagai ganti notis pemberhentian pekerjaan, bayaran cuti tahunan dan faedah pemberhentian yang perlu dibayar selaras dengan peruntukan dalam Akta Kerja 1955.

Persetujuan itu dicapai hasil mesyuarat bersama antara Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dengan pekerja MAPS di sini, hari ini.

Pada 28 Januari lalu, kesemua 217 orang pekerja MAPS telah diberikan notis pemberhentian pekerjaan oleh R&M berkuatkuasa pada hari yang sama.

Menurut kenyataan Menteri Sumber Manusia, pekerja telah menerima gaji bulan Januari, termasuklah bayaran kerja lebih masa bagi bulan Disember 2019 pada 4 Februari lalu.

“Melalui rungutan dan aduan yang dibuat oleh pekerja, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja berusaha membantu dalam mendapatkan maklumat lanjut berhubung tuntutan para pekerja di Jabatan Tenaga Kerja menurut Peruntukan Seksyen 69 Akta Kerja 1955,” katanya.

Menurutnya, hasil mesyuarat hari ini, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia, A. Sivanesan menyatakan bahawa kerajaan negeri melalui Perak Corporation turut membantu melalui bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)kepada pekerja yang mencarum.

“Pihak Menteri Sumber Manusia meminta proses ini dikendalikan sepenuhnya oleh R&M yang dilantik. Selain kerajaan negeri Perak, pihak PERKESO turut memainkan peranan dalam memastikan para pekerja mendapat hak mereka,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi. sehingga kini, seramai 194 orang daripada 217 pekerja telah berdaftar dan membuat permohonan dengan PERKESO.

Daripada jumlah itu, 126 permohonan telah diluluskan dan baki 23 orang lagi diminta untuk membuat pendaftaran dan permohonan dengan segera.