GOPENG : Movie Animation Park Studios (MAPS) yang ditutup selama dua hari pada Disember lalu disebabkan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan tunggakan bil oleh kerajaan terdahulu.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tunggakan kira-kira RM4 juta itu tidak mampu dilunaskan oleh pihak pengurusan MAPS akibat menanggung bebanan hutang.

“Sebenarnya saya tahu ia ditutup selama dua hari memang kerana masalah itu (tunggakan bil elektrik), apabila saya bertanya kepada pihak TNB rupa-rupanya ada masalah tidak membuat bayaran elektrik.

“Tapi sebelum ini yang tertunggak kita tak mampu nak bayar hutang kepada kontraktor, kita usahakan macam mana nak selamatkan perkara ini. Walaubagaimanapun hutang daripada pihak syarikat itu mesti dibayar.

“Menerusi kepimpinan ketika ini, kita mendapati MAPS telah mula dikunjungi oleh orang ramai dan kita telah mampu mengumpul dana untuk meneruskan atau menyelesaikan masalah pembayaran seperti bil air, emolumen dan gaji pekerja.

“Kita sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan segala rungutan yang ada di sana yang tidak boleh saya umumkan buat masa ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Jualan Skim Perumahan Mesra Negeri Perak (Rumah Perakku 1) di tapak projek Taman Raia Perdana usahasama antara Perbadanan Menteri Besar (Mb Inc) dan pemaju hartanah, MK Land di sini, pada Isnin.

Pada 16 Disember lalu, MAPS dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata taman tema itu ditutup sementara waktu disebabkan berlakunya masalah gangguan bekalan elektrik.

Ekoran itu, rata-rata pengunjung terkejut dengan penutupan itu dan ramai meluahkan rasa tidak puas hati mereka di hantaran Facebook berkenaan.