KUALA LUMPUR : Penutupan Univesiti Tenaga Nasional (Uniten), Kampus Haji Ahmad Shah di Muadzam Shah, Pahang dijangka menjejaskan ekonomi penduduk setempat.

Hal ini kerana, sejak penubuhan kampus itu pada 2001 membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sekali gus meningkatkan ekonomi dalam pelbagai bidang khususnya di Muadzam Shah.

Justeru, penutupan kampus itu dijangka memberi impak besar kepada penduduk setempat yang selama ini menerima limpahan ekonomi daripada kewujudan kampus itu.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Rompin, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly selain menyumbang kepada ekonomi tempatan, kampus berkenaan juga melahirkan ramai graduan berkualiti menjadi pemain penting pelbagai industri di negara ini.

“Kami melihat ia satu langkah kebelakang pihak Uniten dalam tradisi ilmu yang sepatutnya dikembangkan dan bukanlah sebaliknya. Uniten seharusnya berkembang maju dan menjadi sebuah universiti yang berprestij.

“Kemajuan Muadzam Shah dan kerancakan aktiviti ekonomi penduduk banyak dipacu oleh warga Uniten ini sekian lama terutama peniaga kecil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan Kampus Haji Ahmad Shah supaya terus beroperasi bagi memberi peluang pendidikan kepada penduduk setempat.

“PH Rompin merasakan inilah masanya Rompin dibangunkan secara lebih holistik dan mampan dengan menambah sebanyak mungkin institusi pendidikan tinggi dan bukan mengurangkannya.

“PH berpegang teguh bahawa UNITEN kampus Muadzam shah ini mestilah diteruskan kerana ianya adalah tanggungjawab sosial Tenaga Nasional Berhad dalam bidang pendidikan dan membantu menaikkan ekonomi kepada masyarakat setempat dan juga negeri pahang,” ujarnya.

– UTUSAN ONLINE