KUALA LUMPUR – Penutupan syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Berhad yang diketahui umum merupakan satu titik hitam dalam sejarah media di Malaysia.

Ini kerana akhbar itu merupakan sebuah institusi penting di dalam negara ini terutamanya kepada masyarakat Melayu, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, penutupan syarikat akhbar itu smemangnya mengejutkan kerana ia merupakan pelopor kepada perjuangan kemerdekaan negara ini.

“Kalau melihat dari sejarahnya Utusan Malaysia bukanlah, menjadi jurucakap kepada parti (UMNO).

“Satu ketika dahulu Utusan Melayu jadi nadi dan suara orang Melayu dan kaum Melayu yang telah mepelopori perjuangan kemerdekaan dan pengisian kepada orang Melayu, pemerkasaan Melayu,” katanya.

Khairy berkata demikian berucap pada Program Ekspresi dalam Malaysia Baharu, Sembang Realiti di Universiti Malaysia di sini hari ini.

Selasa lalu, Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad (Utusan) membuat keputusan menutup operasi syarikat itu berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation).

Langkah itu terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat itu tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

Dalam perkembangan lain, Khairy menggesa supaya ditubuhkan satu badan khas bagi mengawal selia media di Malaysia agar menjadi lebih baik dan teratur serta bebas dalam membuat laporan.

Katanya, langkah itu perlu bagi membebaskan media daripada belenggu selepas pasca pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu.

Dengan memberikan contoh media arus perdana tidak perlu lagi berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala, media eletronik tidak perlu lagi dikawal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), beliau yakin pengamal media di negara ini tahu tugasnya dalam melaporkan perkara yang bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Bagaimanapun kata beliau, hasrat itu hanya akan tercapai menerusi iltizam politik dan struktur yang hendak dibina dalam mengembalikan kredibiliti media di Malaysia.

– MalaysiaGazette