KUALA LUMPUR : Penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian rakyat negara ini untuk tempoh 13 tahun sejak 2005.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata keadaan semakin membimbangkan apabila sebanyak 54 peratus pertambahan berlaku dalam tempoh 10 tahun sejak 2007 dengan 13,503 kematian pada 2017 berbanding 8,776 kematian pada 2007.

Katanya, aliran penyakit itu turut menunjukkan serangan berlaku pada individu usia lebih muda iaitu purata 58 tahun di negara ini, berbanding negara lain dengan purata usia 65 tahun di Thailand, Singapura (61), China (63), AS (66) dan Kanada 68.

“Faktor penyakit tidak berjangkit seperti tahap diabetes, hipertensi , obesiti dan hiperkolesterolemia yang tidak terkawal, faktor pemakanan serta gaya hidup tidak sihat menyumbang peningkatan aliran penyakit jantung,” katanya dalam ucapan perasmian Pusat Perkhidmatan Penjagaan Jantung Hospital Tung Shin, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Hospital Tung Shin, Tan Sri Datuk Khoo Chai Kaa.

Dr Lee berkata kadar penuaan dalam kalangan penduduk Malaysia turut dikenal pasti menyumbang kepada pertambahan pesakit jantung dengan kadar hayat lebih lama.

“Menjelang 2040, populasi penduduk dengan usia 65 tahun ke atas dijangka melebihi enam juta orang, iaitu 14.5 peratus daripada populasi.

“Bererti beban penyakit jantung koronari dijangka akan bertambah dalam masa terdekat,” katanya.

Insiden penyakit jantung koronari di Malaysia dianggarkan sebanyak 141 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjadikan anggaran sebanyak 45,684 kes bagi 32.4 juta rakyat Malaysia.

Manakala insiden sindrom koronari akut (ACS) termasuk serangan jantung (AMI) adalah sebanyak 47.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menjadikan anggaran 15,260 kes bagi 32.4 juta rakyat Malaysia.

Kedua-dua sindrom koronari akut dan serangan jantung memerlukan rawatan dan intervensi terbaik dalam masa terdekat untuk menyelamatkan nyawa pesakit dan memberi hasil terbaik.

Dr Lee berkata dari segi kekerapan, 75 peratus membabitkan lelaki, manakala 25 peratus perempuan.

Justeru katanya, pembukaan Pusat Perkhidmatan Penjagaan Jantung, Hospital Tung Shin sebagai tepat pada masanya.

Sementara itu, Khoo Chai berkata hospital yang ditubuhkan pada 1881 itu, komited memberikan perkhidmatan terbaik untuk orang ramai.

Katanya pihaknya mengambil tempoh tiga tahun mengumpul dana membangunkan pusat itu.

Pada majlis itu Dr Lee turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Hospital Tung Shin dan Chang Gung Memorial Hospital dari Taiwan.

MoU itu antara lain membabitkan perkongsian kepakaran perubatan khususnya kanser – berita harian