Kesedaran tentang penyakit mental masih rendah dalam kalangan masyarakat sehingga boleh mendatangkan kebimbangan terhadap kualiti dan kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Menurut ahli Perwakilan Dewan Belia Perak, Nur Muhammad Naim Kamaruddin, pengetahuan terhadap ciri-ciri awal penyakit mental penting kerana pesakit dapat diberi rawatan awal dan mengelakkan ia menjadi parah.

“Program peningkatan pengetahuan dan kesedaran mental juga perlu memberikan penerapan bahawa pesakit mental bukanlah orang yang gila.

Ibu bapa juga tidak perlu malu membawa anak-anak mereka mendapatkan rawatan lanjut agar kesihatan anak mereka terkawal,” kata Nur Muhammad Naim ketika membentangkan usul Pembangunan Modal Insan Melalui Kesejahteraan Kesihatan Mental pada sidang Perwakilan Belia Perak

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan untuk menjadikan Perak sebagai negeri pertama dalam program rehabilitasi kesihatan mental secara komprehensif.

Katanya terdapat Hospital Bahagia Ulu Kinta yang terletak di Tanjung Rambutan di mana ia merupakan institusi psikiatri terbesar daripada empat buah institusi di Malaysia.

“Diharapkan kepada kerajaan negeri agar mewujudkan institusi khas dalam menangani isu kesihatan mental secara komprehensif kepada masyarakat.

“Kita juga boleh merancang untuk menyediakan perkhidmatan mental yang lengkap selain mempromosi kesihatan mental dalam kalangan komuniti, warga sekolah dan bekerja bagi memastikan kesejahteraan kesihatan mental,” katanya.