IPOH – Seorang lelaki yang menyamar sebagai ‘Datuk Seri’ ditahan bersama tiga individu lain selepas dipercayai terlibat dengan penjualan darjah kebesaran Wilayah Persekutuan serta menawarkan projek tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM1.6 juta.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki dan dua wanita, kesemua berusia antara 24 hingga 65 tahun dalam satu serbuan di sebuah bangle mewah di Jalan Sultan Azlan Shah pada 11.45 pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, tangkapan terhadap

kumpulan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat seorang pengawal keselamatan di Mont Blue Residence, Tambun yang mendakwa dikasari salah seorang saspek pada 11 Mac.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu yang aktif membuat penipuan sejak setahun lalu didalangi penyamaran salah seorang saspek menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menawarkan projek tidak wujud di Langkawi, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

Kata beliau saspek yang mendakwa ‘orang kuat’ kepada Perdana Menteri itu telah mencederakan mangsa menggunakan senjata api sehingga mendapat kecederaan di dahi.

“Berikutan itu siasatan telah dijalankan bagi memburu dan mengesan saspek sehingga membawa kepada tangkapa kesemua mereka yang

masing-masing berasal dari Perak, Johor dan Selangor.

“Siasatan lanjut yang dilakukan terhadap kesemua saspek mendapati mereka terlibat tidak kurang 11 kes jenayah dan penipuan di Perak,

Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor membabitkan kerugian

sehingga RM1.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pemeriksaan di rumah banglo mewah itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis semi-auto bersama kelopak, sepucuk pistol jenis Revolver WG, enam butir peluru 700 Wingun, enam buah telefon bimbit, enam bingkai gambar saspek memakai Baju Istiadat, empat paket mengandungi ganja anggaran berat 180 gram, pelbagai dokumen syarikat dan 11 buah buku cek dari pelbagai bank, katanya.

Turut dirampas kertas yang mempunyai kepala surat Perdana Menteri Malaysia serta lambang negara dan cop palsu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Iskandar Mohd Kaus, katanya.

“Kita juga menjumpai 49 cop palsu membabitkan cop Yang di-Pertuan Agong, cop Kerajaan Malaysia, cop kerajaan negeri dan cop pelbagai agensi kerajaan, pelbagai dokumen serta sijil anugerah darjah kebesaran palsu, baju istiadat berserta songkok dan selempang serta sebuah kereta Audi Q7,” katanya.

Beliau memberitahu, kumpulan itu juga didapati menawarkan urusan

mendapatkan darjah kebesaran, bintang dan pingat Yang di-Pertuan Agong secara pemalsuan.

“Kes penipuan ini masing-masing empat kes di Perak dan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor dan satu kes di Negeri Sembilan.

“Saspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes senjata api dan penipuan selain tiga daripada mereka didapati positif dadah,” katanya.

Katanya kesemua mereka direman tujuh hari sehingga 8 April bagi membantu siasatan bagi tujuh kesalahan dibawah Akta Kesalahan Acara Jenayah.

Akta tersebut adalah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (ugutan), Seksyen 420 KK (menipu), Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (memiliki pistol), Seksyen 36 Akta Senjata 1960 (memiliki peluru) dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasnan berkata, pihaknya percaya suspek mungkin terbabit banyak lagi kes penipuan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ditipu oleh suspek untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.