MELAKA TENGAH – Pasangan warga emas dipukul, diikat sebelum disuap pil tidur dalam kejadian samun di Kilometer 12, Kampung Pernu di sini, malam semalam.

Mangsa, Alias Simin, 67, dan isterinya, Mariam Mahmud, 66, dikejarkan ke Hospital Melaka setelah tidak sedarkan diri ekoran kejadian itu.

“Masa saya tiba, terlihat ada kereta Perodua Axia berwarna perak diletakkan di dalam garaj depan rumah. Saya pun bertanya emak tentang kereta siapa tetapi emak jawab dia tak tahu.

“Saya terus ulang-alik angkat barang masuk ke dalam rumah tetapi masa itu sempat nampak seorang lelaki berkopiah dan berbaju ‘T’ putih tapi tak nampak muka, sedang duduk di atas sofa menghadap cermin tingkap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Norsham berkata, isterinya memberitahu, selepas 10 minit dia keluar untuk membeli makanan terdengar bunyi pintu kereta ditutup kuat sebelum kereta berkenaan beredar dengan laju.

“Saya kemudiannya keluar beli makanan di pekan Umbai kira-kira jam 8.10 malam, bila balik semula 20 minit kemudian lihat kereta berkenaan sudah tiada.

“Terdengar suara pak long memanggil minta tolong dari arah pintu rumahnya dan apabila saya masuk, terlihat mak long dalam keadaan lemah tak bermaya dan terbaring di atas lantai depan pintu rumah,” katanya – sinar