Kuala Kubu Bharu: Kegiatan jenayah kumpulan curi kenderaan digelar Geng Charles yang aktif sejak dua tahun lalu, tumpas susulan penahanan enam lelaki di sekitar Kerling, di sini, minggu lalu.

Selain tangkapan suspek berusia 20 hingga 35 tahun itu, polis turut merampas 11 kereta pelbagai model termasuk lori bernilai hampir RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, kejayaan itu hasil Ops Lejang yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Menurutnya, pada mulanya polis menahan tiga lelaki di ladang ternakan ayam di Sungai Jang, Kerling, jam 4 pagi, 13 Februari lalu.

“Susulan itu polis menyerbu pula lokasi di kawasan Kerling, di sini, dan menahan tiga lagi lelaki. Seorang daripada mereka memiliki bengkel kereta yang diyakini ada kaitan dengan jenayah dilakukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati empat daripada kereta dirampas dilaporkan bersabit kes curi di Selayang, Shah Alam, Bandar Baru Klang dan Rembau, Negeri Sembilan.

“Semua kereta yang dirampas dalam operasi itu dilaporkan hilang hujung tahun lalu termasuk awal tahun ini.

“Selain itu, lori yang ditemui membawa muatan kereta Nissan Almera turut dilaporkan hilang 31 Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

-myMetro