PUTRAJAYA – Tempoh tahanan reman terhadap seorang setiausaha politik kepada menteri disambung lima hari lagi bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana bernilai RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Perintah reman lelaki bergelar ‘Datuk’ itu dikeluarkan Majistret Siti Nabila Abd. Rashid di Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini hingga 7 Oktober depan.

Lelaki berusia 61 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sebelum ini, beliau direman enam hari selepas ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 28 September lalu.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.20 pagi dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Selain setiausaha politik menteri berkenaan, SPRM turut menahan empat individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ di beberapa lokasi di Kuala Lumpur selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan dana PTPK sebanyak RM40 juta.

Tiga daripada empat individu yang ditahan adalah pegawai kanan PTPK, manakala seorang lagi pengarah syarikat berumur 38 tahun.

Bagaimanapun, keempat-empat individu itu sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 23 September lalu. – K! ONLINE