BALIK PULAU: Seorang penyelia kilang maut disambar petir ketika menunggu bot di tepi pantai berhampiran Dewan Masyarakat Gertak Sanggul, Teluk Kumbar dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam, Mohamad Amin Osman, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Insiden berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya sedang menunggu bot nelayan untuk membawa mereka memancing di Pulau Kendi.

Difahamkan ketika itu, hujan lebat sebelum tiba-tiba petir menyambar mangsa menyebabkannya tercampak ke tepi laut.

Rakan berada berhampiran mangsa turut terkena petir dan mengalami kebas pada tangan lalu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Anak mangsa, Muhamad Izdhar Mohamad, 21, berkata mereka sempat bertemu pada petang semalam, sebelum bapanya keluar rumah bersama rakan selepas maghrib.

“Tiada perubahan ketara ditunjukkan arwah bapa. Cuma sejak kebelakangan ini, saya nampak arwah agak pendiam.

“Sudah agak lama arwah bapa tidak keluar memancing, namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat Hospital Balik Pulau di sini, malam tadi.

Arwah meninggalkan seorang balu bersama tiga anak, dan dikatakan seorang yang peramah serta disenangi di tempat kerjanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan, mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut – berita harian