PENGKALAN HULU: Seorang penyelia maut dilanggar lori di kawasan lombong bijih timah di sini, pagi Jumaat.

Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah mengarahkan satu pasukan untuk menjalankan siasatan terhadap kejadian itu.

Menurut Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa sedang menyelia kerja dengan menaiki motosikal sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang mengangkut batu bijih.

“Mangsa didapati terperosok di bawah lori dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya pada Sabtu.

Menurutnya, pemandu lori, warga Indonesia tidak dapat dikesan selepas kejadian, dipercayai telah melarikan diri.

Beliau memberitahu, susulan siasatan yang dijalankan, sebanyak enam notis telah dikeluarkan, iaitu satu notis larangan dan lima notis pembaikan kepada majikan dan kontraktor yang menjalankan kerja mengangkut batu bijih.

“Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati perlanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” ujarnya.

Ir Zamzurin berkata, JKKP memang serius insiden dan kemalangan yang berlaku, terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Semua majikan digesa untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan berlaku kemalangan,” katanya.