Pengasas Produk Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman meletakkan syarat kepada penyokong The Red Warriors (TRW) sebelum beliau menimbang meneruskan tajaan skuad bola sepak Kelantan itu yang kini berdepan krisis kewangan.

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau tiada masalah untuk menaja skuad bolasepak itu sekiranya produk-produk keluaran Vida Beauty menerima sokongan padu daripada penyokong TRW sendiri.

“Saya nak tengok dahulu penyokong-penyokong TRW ini menyokong produk saya atau pun tidak, janganlah hanya saya sahaja yang keluar duit tapi produk-produk saya langsung mereka tak beri sokongan.

“Takkan saya nak berjuang seorang diri sahaja, jadi kalau sayangkan TRW sayanglah produk-produk saya juga…baru saya boleh teruskan tajaan,” katanya ketika ditemui perkarangan bangunan Mahkamah Ipoh pada Khamis.

Tambah beliau, sekiranya produk-produk Vida Beauty masih lagi disambut hambar penyokong TRW, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain selain menarik balik tajaan berkenaan.

“Saya jalankan perniagaan dan duit-duit dari jualan produk itulah yang akan saya akan gunakan untuk menaja pasukan TRW..tapi kalau air tin saya yang berharga RM5 pun tak ada orang beli macam mana saya nak cari modal?

“Jadi seperti saya kata, saya boleh pertimbangkan tetapi sekiranya masih sambutan yang diberikan oleh penyokong kepada produk saya hambar, jadi saya mungkin terpaksa tarik balik,” ujarnya.

Justeru beliau mengesa penyokong-penyokong TRW menunjukkan komitmen mereka dalam menyokong pasukan bola sepak Kelantan dengan membeli produk-produk keluaran Vida Beauty.