SHAH ALAM – Polis Selangor mengingatkan penonton bola sepak yang hadir menyaksikan dua perlawanan bola sepak di Stadium Shah Alam dan Stadium Selayang esok supaya dapat menjaga tingkah laku serta tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi.

Katanya, kawalan keselamatan akan diperketatkan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang berlangsungnya perlawanan itu nanti.

“Sebagai langkah keselamatan, kita akan melakukan pemeriksaan badan terhadap setiap penyokong di semua pintu masuk stadium dan akan menahan mana-mana individu yang membawa bahan larangan seperti senjata tajam dan bahan letupan.

“Selain bahan letupan, barang-barang terlarang seperti pemetik api, payung, dan botol air minuman akan dirampas dan dihalang daripada dibawa masuk ke dalam stadium,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyatan itu lagi, Mazlan berkata, penonton dinasihatkan supaya datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakkan sekitar stadium dan pintu masuk stadium akan dibuka seawal pukul 4 petang.

“Kita juga akan mengasingkan tempat duduk penyokong di Stadium Shah Alam, yang mana penyokong Malaysia akan memasuki stadium melalui pintu B,C dan D, manakala Thailand melalui pintu A,”ujarnya.

Jelasnya, bagi memastikan kelancaran perlawanan di kedua-dua stadium tersebut, pihaknya akan menempatkan anggota yang mencukupi di luar dan di dalam stadium bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. – K! ONLINE