PETALING JAYA: Aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta antara Indonesia dan Malaysia malam ini dicemari pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Insiden itu tercetus selepas perlawanan berakhir dengan Harimau Malaya menang 3-2.

Difahamkan, penyokong Indonesia yang berang dan kecewa dengan kekalahan skuad Garuda, bertindak menyerang penyokong Malaysia dengan merempuh kawasan tempat duduk mereka.

Seorang daripadanya patah tangan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari serangan penonton tuan rumah.

Sumber memberitahu, mangsa yang dikenali sebagai Izhar Atan kini mendapat rawatan lanjut di sebuah hospital di Jakarta.

Seorang lagi pula cedera di kepala dan belakang akibat terkena objek yang dibaling penyokong Indonesia. Dia bagaimanapun dikatakan hanya mendapat pesakit luar

Menerusi rakaman video yang tersebar di media sosial, pihak berkuasa Indonesia dilihat cuba menghalang kedua-dua penyokong daripada bergaduh.

Menerusi satu klip video yang dimuat naik ke Facebook Harimau Malaya, seorang penyokong Malaysia yang dipercayai cedera terkena balingan suar penyokong Indonesia, diusung pasukan perubatan keluar dari kawasan tempat duduk.

“Video yang viral tentang ‘ekor’ (penyokong Malaysia) yang cedera terkena balingan ‘flare’. Diharap beliau segera sembuh dan ‘ekor’ lain pulang dengan selamat.

“Kita tidak perlu membalas dendam. Kita bangsa yang tolak ‘gangsterism’ dalam bola sepak,” menurut status Facebook Harimau Malaya yang turut memaklumkan penyokong Malaysia dibaling batu dan pihak lawan membuat provokasi di luar stadium.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut menyaksikan perlawanan di Stadium Gelora mengesahkan penyokong Malaysia diserang objek keras.

“Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali. Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia cuba merempuh kawasan Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika.

“Saya dimaklumkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Syed Saddiq berkata, beliau bersama penyokong Malaysia masih berada di dalam stadium sementara menunggu keadaan reda.

“Kejadian ini amat menyedihkan buat sukan bola sepak yang sepatutnya menjadi medium penyatuan. Saya berjanji akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia.”

Perlawanan membabitkan Malaysia dan Indonesia sering “panas”, antaranya pada aksi final pertama Piala AFF 2010 yang menyaksikan pemain Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda ke stadium dan pulang ke hotel.

Insiden sama turut berulang pada temasya Sukan SEA 2011.

Malah, pada aksi Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) 2018 di Indonesia, pemain negara diserang penyokong tuan rumah yang membaling botol minuman dan batu, selepas mereka tewas 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir.

Susulan itu, Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Ratu Tisha Destria memberi jaminan keselamatan kepada pasukan negara yang akan mendapat sambutan baik untuk mengharungi perlawanan di Stadium Gelora.