PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik selepas menerima berita mengenai beberapa penyokong Myanmar diserang selepas aksi Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam memohon maaf atas insiden itu dan mengambil berat tentang keadaan mangsa sekalipun tiada laporan polis yang dibuat seperti yang disahkan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

FAM telah berjumpa dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Myanmar, Lovely Heart Organization, Ko Thet selaku wakil kelompok warga negara itu yang dilaporkan menjadi mangsa serangan penyokong Malaysia.

“Sebagai badan induk bola sepak yang menaungi semua kegiatan sukan ini, saya bagi pihak FAM memohon maaf secara rasmi kepada penyokong terbabit.

“FAM telah mengambil langkah-langkah keselamatan di persekitaran stadium tetapi tidak mampu mengawal kejadian tidak diingini yang di luar kawasan kami.

“Kami menggesa agar semua penyokong mengamalkan prinsip kesukanan yang tinggi, sebelum, ketika dan selepas menonton perlawanan,” kata Stuart dalam kenyataan Facebook rasmi FAM selepas pertemuan itu berlangsung.

Pada Isnin, MyanmarTimes melaporkan tiga penyokong Myanmar cedera apabila diserang beberapa orang yang tidak dikenali ketika menyaksikan perlawanan Malaysia dan Myanmar.

Seramai 20 penyokong Myanmar termasuk enam wanita diserang oleh kira-kira 30 orang ketika sedang menunggu bas untuk pulang selepas perlawanan itu, jelas Ko Thet.

Ko Thet memberitahu, pihaknya telah menghantar mangsa yang cedera untuk mendapatkan rawatan.

“Mereka tidak membuat laporan polis kerana merasakan tidak akan ada tindakan dalam kes ini,” ujarnya – mstar