IPOH : Para penyokong pasukan Perak mula beratur di Stadium Perak di sini pagi ini untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala FA yang mula dijual hari ini.

Setakat ini, para penyokong masih menunggu kaunter jualan tiket dibuka pada pukul 10.30 pagi.

Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebelum ini mengumumkan sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada Perak.

Sebanyak 15,000 tiket dijual di Stadium Perak manakala 12,000 lagi akan diagihkan ke seluruh daerah.

Tiket turut dijual di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Selain itu, tiket turut boleh dibeli di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Tanjung Malim dan PDT Lenggong serta Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar dan Stadium Mini Manjung.