IPOH 25 Okt. – Seorang lelaki rebah dipercayai akibat sawan ketika berbaris untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini.

Penyokong itu rebah setelah berbaris bersama kira-kira 1,000 penyokong lain selama hampir lima jam.

Lelaki berkenaan dibantu oleh orang ramai dan keadaannya pulih beberapa minit kemudian.

Penyokong tersebut kemudiannya dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.

Dia merupakan antara penyokong Perak yang masih menunggu untuk mendapatkan tiket setelah tiket yang dijual di Stadium Perak di sini hari ini habis dijual dalam tempoh sejam.

Para penyokong masih tidak berputus asa untuk mendapatkan tiket dan masih menunggu penjelasan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengenai tiket yang habis dijual dalam tempoh yang singkat. – UTUSAN ONLINE