KUALA LUMPUR : Sekumpulan 80 individu yang diketuai Timbalan Pengerusi PKR Perak M A Thinakaran, berhimpun di hadapan Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur mempersoalkan keadaan Farhash Wafa Salvador yang ditahan polis berhubung penyebaran klip video lucah.

Thinakaran berkata, pihaknya cuba menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan untuk bertanya keadaan setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim itu, namun gagal.

“Di mana Farhash? Inilah soalan yang kami mahu polis jawab. Peguam-peguam saya cuba hubungi pegawai penyiasat dalam kes ini untuk bertanya kebajikan saudara Farhash.

“Tapi, panggilan kami tidak dijawab,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurutnya, peguam dan penyokongnya masih tidak tahu keadaan Farhash, yang juga merupakan pengerusi PKR Perak

“Kami masih tidak tahu di mana Farhash. Bagaimana kebajikan dia? Sudah cuba menghubungi 100 kali. Pihak polis tak nak jawab. Malah, tak nak balas panggilan peguam. Ini jenis SOP (piawai prosedur operasi) apa?

“Kalau seorang pemimpin politik dilayan sebegini, bayangkan nasib rakyat biasa,” kata Thinakaran turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) segera.

Thinakaran bagaimanapun menafikan tanggapan yang melihat mereka berhimpun kerana isu dalaman PKR.

“Hari ini kami wakil dari kesemua 24 bahagian PKR berkumpul di sini bagi menunjukkan sokongan kepada pengerusi PKR Perak.

“Ini tidak kena mengena dengan isu dalaman PKR. Yang itu biar presiden parti dan timbalan menyelesaikan,” katanya.

Tambah beliau, kebajikan dan keselamatan Farhash merupakan tujuan utama mereka berkumpul.

“Kita tahu ada banyak kes mati dalam lokap. Jadi, kami nak kebajikan Farhash diutamakan. Apa masalah dengan polis untuk menjawab panggilan peguam-peguam kami?

“Ini bukan Malaysia baru yang kita impikan. Kita bukan ke mara depan sebaliknya semakin ke belakang,” dakwa beliau.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang menafikan dakwaan bahawa Farhash tidak diberi makanan selama 24 jam, Thinakaran tetap menggesa perkara itu disiasat.

“Isu tidak diberikan makanan telah dibangkitkan di hadapan majistret. Dan ia direkodkan. Jadi, ketua polis negara tidak boleh menafikan begitu sahaja. Kena siasat dulu,” katanya.

Penahanan Farhash merupakan sebahagian daripada siasatan polis berhubung pengedaran kilp video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Petang tadi, polis memaklumkan bahawa lima daripada individu yang ditahan bersama Haziq telah dibebaskan.

Bagaimanapun, Farshash merupakan antara yang masih ditahan.