IPOH – Peruntukan RM3 juta oleh kerajaan negeri diagihkan kepada 261 Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di negeri ini bagi membantu sekolah-sekolah tersebut.

Exco Kerajaan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, sumbangan tersebut akan dimanfaatkan seramai 86,666 murid melibatkan 5,082 bilik darjah.

Katanya, sekolah-sekolah yang menerima peruntukan ini termasuklah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Mubaligh.

“Sumbangan ini kita salurkan mengikut pendekatan baru iaitu separuh mengikut berkapita bilangan murid dan separuh lagi mengikut purata bilik darjah yang belum pernah diguna pakai sebelum ini.

“Walaupun pendidikan di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan namun keprihatinan kerajaan negeri diambil pendekatan mengubah corak agihan dan tidak hanya retorik semata,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Penyambangan Sumbangan Kepada Sekolah Bantuan Kerajaan di Hotel Kinta Riverfront, di sini.

Hadir sama menyampaikan sumbangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan Speaker Dun Perak Datuk Ngeh Koo Ham.

Beliau berkata, melalui pendekatan baharu pengagihan peruntukan itu, sekolah Kurang Murid (SKM) yang secara lazimnya kurang mendapat bantuan dalam jumlah yang secukupnya dapat dibantu.

“Melalui kaedah baru ini sekolah yang mempunyai bilangan murid yang besar tetap dapat bantuan dan mengambil kira agihan lebih adil kepada SKM.

“Pertukaran dasar dan bentuk bantuan tersebut hasil perbincangan dengan pegawai pendidikan serta pihak sekolah dan mengambil kira keperluan untuk setiap sekolah,” katanya.

Pada majlis itu, beberapa wakil rakyat hadir menerima bantuan itu sebelum ia disalurkan di sekolah di kawasan masing-masing – sinar