TAIPING: Perak akan bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menjalankan kajian terperinci berkenaan dakwaan kononnya negeri ini merupakan kedua termiskin selepas Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia sekaligus untuk menafikan kenyataan tidak berasas daripada pihak pembangkang mengenai status ekonomi negeri ini.

Katanya, sebelum ini Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) telah meminta maaf kepada kerajaan negeri atas tindakan mereka yang mengeluarkan laporan mengenai kedudukan ekonomi Perak yang tidak tepat.

“Kerajaan negeri sedang bekerjasama bersama pihak Jabatan Perangkaan dan kita akan membuktikan bahawa kita bukanlah negeri termiskin dan KRI akan melaksanakan kajian tersebut untuk menjelaskan laporan sebelum ini.

“Apa yang dilakukan mereka sebelum ini telah mencalar imej negeri Perak khususnya buat rakyat setempat, dan ini harus diperbetulkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Majlis Makan Malam Parti Gerakan Negeri Perak sempena Perayaan Ulang Tahun ke-48 di Persatuan Ong Si Thye Guang Tong, di sini pada malam Sabtu.

Tambah beliau, kenyataan rasmi akan dikeluarkan bagi menafikan laporan mengenai kedudukan ekonomi Perak sekaligus menghentikan cubaan pihak pembangkang untuk menjatuhkan imej Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Tegasnya, kajian tersebut adalah amat penting khususnya bagi pihak pembangkang yang cuba mengambil kesempatan sia-sia untuk menyerang pentadbiran ekonomi Perak secara melulu.

“Biasalah kalau pembangkang, mereka tidak akan berhenti menyerang kerajaan negeri dan tidak pernah bercakap mengenai benda baik yang berlaku di Perak,” ujarnya lagi.

 

 

Dalam pada itu, Dr Zambry mengingatkan, di sebalik cabaran yang menimpa Malaysia pada hari ini, ia perlu dikendalikan secara bijak dan bersikap positif.

Ujar beliau, setiap masalah perlu ditangani melalui sikap positif dan setiap cabaran merupakan peluang bagi mereka untuk memantapkan integrasi bersama dengan kepimpinan negeri.

“Saya cukup yakin dan percaya bahawa Parti Gerakan Negeri Perak ini boleh maju bersama-sama kepimpinan sedia ada bagi memastikan semua rakyat dalam hidup dalam keadaan aman damai.

“Semua kita, termasuk Parti Gerakan berada dalam platform profesional bersama kerajaan negeri untuk memastikan matlamat tersebut dapat dicapai,” kata beliau.

Dr Zambry menegaskan usahasama itu dilakukan untuk mensejahterakan rakyat dan bukannya melalui tindakan mengadakan himpunan seperti Bersih 5 yang tidak mempunyai sebarang hala tuju.

Nasihatnya kepada Parti Gerakan Perak, agar sentiasa melangkah ke hadapan dengan iltizam teguh bersama dengan Barisan Nasional bagi menempa kejayaan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Malaysia yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.