TANJUNG MALIM: Kerajaan negeri Perak akan mempertimbangkan cadangan untuk menamakan mana-mana jalan di negeri ini dengan nama ahli akademik, mediang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata penukaran nama jalan kepada nama Sejarawan Negara itu akan dilakukan sekiranya menerima cadangan daripada mana-mana pihak.

“Kita sama sekali tidak meragui jasa yang diberikan oleh mendiang malah jika ada cadangan mengenai hal berkenaan, tentunya akan dipertimbangkan kelak,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Anugerah Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya, dengan nama Jalan Professor Khoo Kay Kim.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Sultan Sharafuddin memberi perkenan untuk penamaan semula jalan tersebut bagi mengenang segala jasa dan bakti mendiang tokoh sejarawan itu kepada negara.

Pada 28 Mei lepas, ahli akademik berusia 82 tahun yang berasal dari Kampar, Perak menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini, akibat jangkitan paru-paru.

– BERNAMA