IPOH– Festival bertemakan “sama-sama” akan memenuhi program sepanjang tujuh minggu di sekitar bandar Ipoh, yang dijalankan bersempena meraikan bulan kemerdekaan tidak lama lagi.

Program berunsurkan kesenian dan kebudayaan negeri Perak ini akan berlangsung di 20 lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung di Ipoh serta diadakan pada setiap malam hujung minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata tema “sama-sama” dipilih bagi menggambarkan kepelbagaian masyarakat dan menjadi identiti unik di Malaysia.

“Festival ini dijalankan bermula 18 Ogos hingga 16 September di seluruh pelusuk Ipoh secara berterusan selama tujuh minggu, ia termasuk program “sama-sama main”, “sama-sama ria”, “sama-sama gema”, “sama-sama suara”, “sama-sama melakar” dan “sama-sama forum”.

“Semangat muhibah dan harmoni adalah konsep utama yang ingin diterapkan di dalam festival kemerdekaan yang diterajui oleh Tourism Perak, untuk memperkenalkan kepada warga Perak, Malaysia mahu pun pelancong asing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Festival Bulan Merdeka Kerajaan negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Antara lokasi yang menjadi venue penganjuran seperti Medan Selera Dato’ Sagor, Old Town, Waller Court, 22 Hale Street, Jalan Dato’ Maharaja Lela serta Kinta River Front.

Sementara itu, orang awam yang berumur 18 tahun dan ke atas dialu-alukan untuk mengambil bahagian dengan mendaftar sebagai sukarelawan program.

“Kami menyasarkan 5,000 ribu orang pengunjung akan memeriahkan semua program yang disediakan, bagi yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh layari laman web rasmi festival di www.samasamaperak.my” katanya.