IPOH: Selepas kejayaan penganjuran Pangkor Dialogue sejak tahun 2014, Perak melalui Institut Darul Ridzuan (IDR), maju selangkah lagi dengan penganjuran Festival Of Ideas tahun ini untuk terus memperkenalkan Perak di mata dunia.

Festival dijadualkan pada 6 hingga 10 September yang diikuti dengan Pangkor Dialogue pada 11 dan 12 September.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, penganjuran Festival of Ideas yang pertama di rantau Asia itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengantarabangsakan Perak.

Tambahan pula, kata beliau, ia juga boleh melonjakkan industri pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2017.

“Kita harapkan dengan adanya Perak Festival of Ideas yang membawa jenama Festival of Ideas ini dirantau ini, Insya Allah ianya akan membawa ramai pengunjung untuk bersama-sama kita di negeri Perak.

“Ini adalah diantara orang kata strategi untuk kami mengantarabangsakan negeri Perak, khasnya untuk rantau Asia,” katanya pada sidang media selepas majlis preview Perak Festival of Ideas bersama-sama 30 rakan strategik berpotensi di Ipoh, Perak pada Rabu.

c43e2ce6-0d86-4ccf-a916-f41ad357bc14Turut dihadiri Ketua Pegawai Eksrkutif IDR, Dr Mazalan Kamis.

Menurut Dr Mazalan pula, sepanjang lima hari festival itu, antara 25 ke 30 acara akan dijalankan di sekitar Ipoh, yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Perak dan meliputi pelbagai bidang kehidupan seperti keusahawan, pendidikan, keseniaan dan kebudayaan.

Katanya, festival juga menyaksikan penglibatan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi yang bermatlamatkan kepada inovasi dan perkongsian idea.

“IDR mengambil insiatif ini sebab kami yakin bahawa idea ini bukan sahaja unik tetapi ia berpotensi untuk terus melonjakkan lagi Perak ke peringkat antarabangsa sebagaimana yang kita hendakkan.

“Penglibatan untuk Festival of Ideas bukan sahaja kepada event-event bersifat tempatan tetapi juga ada yang international seperti World Assembly of Youth dan Commanwelth Youth Council juga akan bersama dengan kita,” ujarnya.

Sementara itu, seorang potensi rakan kongsi, Mohd Zaki Salleh berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan festival makanan dan buah-buahan selama lima hari, yang dijangka mampu menarik hampir 200,000 pengunjung.

“Kita akan menghimpunkan makanan-makanan dari seluruh negeri Perak dan juga seluruh Malaysia di sini dan juga kita himpunkan buah-buahan di mana negeri Perak ini terkenal dengan macam-macam buah-buahan.

“Jadi kita himpunkan buah-buahan tempatan, termasuklah dari negeri-negeri lain pun akan datang dekat sini berkumpul ramai-ramai sebab kita tahu rakyat Malaysia suka makan buah-buahanan,” katanya yang berpengalaman menganjurkan sembilan festival makanan seluruh negara.