IPOH – Persatuan Pelancongan Perak (PTA) akan menganjurkan Karnival Penunggang Motosikal Perak 2019 dengan menghimpunkan sejumlah besar ‘mat motor’ dari seluruh negara termasuk dari Singapura dan Thailand ke negeri ini pada 18 hingga 20 Oktober akan datang.

Presidennya, Datuk Mohd Odzman Abd Kadir berkata, penganjuran pogram tersebut sebagai usaha menyemarakkan industri pelancongan di negeri ini dengan memperkenalkan kepada kumpulan bermotosikal.

Beliau berkata, PTA akan bekerjasama dengan Taman Tema Studio Filem Animasi (MAPS) sebagai lokasi untuk mereka berkumpul selain pelbagai aktiviti sampingan yang turut diadakan.

“Kita mahu memperkenalkan tempat-tempat menarik yang wajib dikunjungi oleh kumpulan motosikal ini apabila datang ke Perak. Selain tempat pelancongan, kita juga akan cadang kepada mereka tempat-tempat makan yang menarik di Perak khususnya di Ipoh.

“Melalui program seperti ini, kita berharap agar industri pelancongan di Perak akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Karnival Penunggang Motosikal 2019 di MAPS, Bandar Meru Raya, di sini baru-baru ini.

Hadir sama menyempurnakan majlis tersebut, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Ghaffor.

Sementara itu, Shafeii berkata, pihaknya turut menyediakan beberapa aktiviti khusus untuk karnival tersebut.

Katanya, sebagai tuan rumah, MAPS akan mengadakan perarakan motosikal, mencari harta karun, pameran motosikal, cabaran Rumah Hantu Scared Rania dan sebagainya.

Dalam sidang media sama Howard berkata, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan program seumpama itu dalam usaha memperkenalkan Perak sebagai destinasi pelancongan menarik untuk semua.

Katanya, program selama tiga hari itu nanti perlu dimanfaatkan oleh rakyat di negeri ini menyambut pelancong dan mempromosikan produk sedia ada.