IPOH: Perak akan menganjurkan Perayaan Pesta Tanglung, perayaan kedua terbesar masyarakat Cina, di Pusing pada 23 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam Dan Kampung Baharu, YB Yong Choo Kiong berkata, perayaan itu anjuran bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang antara lain bertujuan merapatkan hubungan antara kaum di negeri ini.

Antara NGO yang terlibat ialah Persatuan Chin Woo Ipoh, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Batu Gajah dan Kelab Akhbar Perak.

“Kerajaan negeri Perak melalui Unit Hal Ehwal Bukan Islam akan bekerjasama dengan mana-mana NGO yang mahu menganjurkan program bagi merapatkan hubungan antara kaum di negeri ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Chin Woo Ipoh, Datuk Ooi Foh Sing.

Menurut YB Yong, berdasarkan pengalaman penganjuran setiap tahun, antara 20,000 dan 30,000 dijangka menghadiri perayaan itu yang turut melibatkan kaum Melayu dan India.

Katanya, bagi meneriahkan lagi perayaan, pihak penganjur akan mengedarkan masing-masing 2,000 tanglung dan kueh bulan kepada para pengunjung.

“Sempena perayaan itu, satu perarakan akan diadakan mengelilingi pekan Pusing yang jaraknya hanya kira-kira satu kilometer,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menjemput rakyat Perak, khususnya mereka yang tinggal di sekitar Pusing, Batu Gajah dan Tronoh untuk datang beramai-ramai memeriahkan lagi pesta itu, di samping menyaksikan pameran tanglung yang pernah memenangi pelbagai pertandingan.