IPOH: Perak adalah antara negeri yang paling banyak membantu dalam pembangunan pendidikan masyarakat India.

Pengerusi Badan Perhubungan MIC Perak, Datuk V. Elango berkata, sejak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, banyak bantuan yang telah dihulurkan kepada masyarakat India di negeri ini.

Beliau memberi contoh, setiap tahun kira-kira 3,000 bantuan diberikan kepada pelajar miskin di samping bantuan peralatan sekolah, penganjuran hari anugerah cemerlang dan bantuan kewangan untuk pelajar miskin yang mendapat tempat di universiti.

Selain, itu, kata beliau, kerajaan negeri juga telah menganugerahkan 2,000 ekar untuk tanaman sawit yang diusahakan oleh Yayasan Pembangunan Pendidikan Kaum India Perak.

“Hasil daripada ladang sawit ini akan disalurkan untuk pembangunan pendidikan masyarakat India, termasuk sekolah-sekolah yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR 2015/2016 dan Sumbangan Mesin Pencetak Untuk Sekolah-Sekolah Tamil Daerah Kinta Utara & Kinta Selatan di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Seramai 208 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang memperolehi keputusan 6A hingga 8A pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2015 dan 2016 menerima medal, sijil dan wang tunai.

Di samping itu, sebanyak 134 buah SJKT seluruh negeri menerima sumbangan mesin cetak.

Sementara itu, Elango yang juga Penasihat Kepada Menteri Besar ketika berucap meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Penasihat Sekolah (LPS) sekolah-sekolah Tamil memberitahu kepada masyarakat India bahawa kerajaan negeri banyak membantu sekolah mereka.