IPOH – Kerajaan Perak akan berusaha memastikan negeri ini dijadikan sebagai hab e-Sukan di Malaysia.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee berkata, pihaknya menyedari beberapa kekangan dan cabaran untuk merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, antara cabaran termasuklah dari segi logistik memandangkan Perak tidak mempunyai lapangan terbang antarabangsa.

“Kita memang tahu cabaran-cabaran ini, malah sedang berusaha mengatasi masalah-masalah ini, namun sudah ada yang memerlukan masa untuk merealisasikannya seperti pembinaan lapangan terbang dan sebagainya.

“Penganjuran Persidangan Industri Profesional e-Sukan (EPIC) 2019 ini antara lain bertujuan menarik minat pemain industri untuk melabur dalam e-Sukan di Perak,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Howard Lee (kiri) bertanyakan sesuatu kepada MidOne yang dipilih sebagai ikon e-Sukan Perak 2019.
Howard Lee (kiri) bertanyakan sesuatu kepada MidOne yang dipilih sebagai ikon e-Sukan Perak 2019.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian EPIC 2019 di Pusat Konvensyen Amanjaya, di sini.

Menurut Howard, seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, pihaknya sudah mengadakan perbincangan lanjut dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk dibina stadium khusus untuk e-Sukan.

“Perancangan ini dilakukan secara berterusan dan kita mengalu-alukan pemain industri untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan ini.

“Dalam masa sama kita akan merancang EPIC ini setiap tahun dan bercadang mempelbanyakkan lagi pertandingan jika peruntukan mengizinkan,” katanya.

Dalam pada itu, Howard Lee turut mengumumkan pelantikan seorang pemain profesional DOTA 2, Yeik Nai Zheng atau lebih dikenali sebagai MidOne sebagai ikon e-Sukan Perak bagi tahun 2019.

MidOne merupakan anak kelahiran Bagan Serai yang kini bermain untuk pasukan Secret – sinar harian