Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri Perak bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baru yang meningkatkan tahap intergriti di peringkat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan dan semua agensi kerajaan negeri untuk membanteras amalan rasuah serta salah guna kuasa secara total.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau percaya langkah terbaru tersebut akan disambut baik semua anggota pentadbiran kerajaan negeri agar pelbagai peringkat.

Beliau berharap kesemua penjawat awam dapat memberikan kerjasama penuh terhadap usaha kerajaan negeri itu merupakan sebahagian janji kepada rakyat untuk menjadi pentadbiran yang bebas dari gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam satu majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada pagi Selasa, Ahmad Faizal menegaskan usaha kerajaan negeri Pakatan Harapan dalam mencegah salah guna kuasa dan rasuah tidak terhenti dengan adanya majlis pada hari ini.

“Moga-moga, usaha kerdil kita untuk membanteras amalan rasuah ini akan diberkati Allah, demi satu pentadbiran yang diberkati dan dirahmati.

“Pada majlis perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 semalam (Isnin), Baginda Tuanku, (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) bertitah kepada kepimpinan kerajaan ini supaya jangan sekali-kali melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan.

“Baginda Tuanku juga mengingatkan kita yang jawatan dan kuasa adalah amanah daripada ILAHI, dikurniakan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada kalangan hamba Nya sebagai satu ujian, yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan ketika,”katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis pagi ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Bagi Ahli Dewan Negeri (Kerajaan) dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Daruk Ridzuan di sini, pada pagi Selasa.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Zainul Darus.

Jelasnya, beliau menghargai komitmen barisan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak untuk hadir bagi menyatakan ikrar untuk menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Datuk Shamshun Baharin berkata terdapat beberapa perkara yang harus dititikberatkan dan tidak dipandang ringan oleh setiap anggota pentadbiran kerajaan negeri.

“Contohnya apabila terdapat program yang tidak dilaksanakan tetapi YB-YB ini membuat tuntutan seperti elaun keraian dan perjalanan yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Apabila kita menjalankan tugas-tugas tersebut, kita kena memahami undang-undang kerana terdapat beberapa takrifan yang berbeza (mengikut pentadbiran lampau),”ujarnya lagi.

Shamshun juga berkata SPRM sentiasa bersikap terbuka sekiranya terdapat sebarang bantuan yang diperlukan dari pengurusan kerajaan negeri khususnya melibatkan ketelusan dan integriti sebagai wakil yang memegang amanah rakyat.