IPOH : Perak bakal menjadi hab penanaman buluh apabila sebuah tapak semaian dan tisu kultur bakal dibangunkan di atas sebidang tanah milik Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di Taman Industri Perabot di Lahat di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, langkah itu selari dengan hasrat Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang ingin menjadikan negeri ini sebagai hab tanaman berkenaan sewaktu mengadakan lawatan ke Perak, kira-kira tiga minggu lalu.

Menurut Mohammad Nizar, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang teknologi terkini untuk memajukan industri buluh seperti diguna pakai oleh negara Filipina dan Indonesia dalam melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mengimport mesin-mesin bagi menghasilkan bahan-bahan binaan berasaskan buluh.

“Kita masih terkebelakang. Kita hanya gunakan buluh ini untuk buat pancang tanam kacang tetapi kita sebenarnya boleh membuat seluar dalam dengan buluh, anak baju dengan buluh, barangkali. Cukup tinggi teknologi.

“Namun, kita hendak buat semaian dulu sebab kita hendak mulakan dari ‘ground zero’, jadi itu caranya kita bekerjasama dengan MTIB. Apabila sebut buluh, ia berkait rapat dengan kampung dan kita juga boleh memaksimumkan tanah terbiar di Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani; Ketua Eksekutif Invest Perak, Sayed Shariffuddin Sayed Shamshuddin; Ketua Jawatankuasa Kerja Majlis Penasihat Pelaburan Perak, Clarence Cheah Choong Yueh dan Pengarah Teknikal Bamboo Jungle Adventures, Ahmad Mazlan Othman.

Dalam pada itu, Mohd Kheiruddin berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama untuk merealisasikan hab tanaman buluh berkenaan yang dilihat boleh menjadi contoh kepada negeri lain.

Beliau berkata, sementara menantikan buluh matang dalam tempoh tiga tahun, rebungnya boleh dijadikan hasil sampingan, malahan daun buluh juga boleh diproses menjadi teh.

“Kita juga akan menarik pelabur asing untuk melabur dalam industri buluh. Umpamanya, kementerian bercadang menarik pelabur Jepun untuk menanam buluh dan kita akan menjemput kerajaan negeri Perak bagi turut sama dalam misi ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Mazlan yang memiliki kepakaran dalam industri buluh berkata, potensi buluh sangat besar kerana pasaran global ketika ini hampir mencecah RM300 bilion setahun.

Lebih-lebih lagi katanya, Malaysia dianugerahkan dengan tanah dan cuaca yang sangat kondusif untuk penanaman buluh dengan nilai komersial.

“Untuk pembinaan, telah disenaraikan 20 spesies buluh terbaik di dunia dan kita memiliki empat daripadanya iaitu buluh betung, buluh minyak, buluh beting dan buluh duri,” katanya.

– UTUSAN ONLINE