IPOH – Kerajaan Perak akan membuat lantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu bagi menggantikan Datuk Zamri Man yang dilaporkan tidak hadir bertugas sejak beberapa bulan lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, proses lantikan itu akan dibuat dalam masa terdekat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Proses lantikan sedang diusahakan memandangkan kita sudahpun mempunyai calon, kita juga akan membuat pengumuman mengenai perkara ini secepat mungkin..itu sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) 2019 di Ipoh Parade, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Zamri mengalami masalah kesihatan, namun sepanjang tempoh ini tidak mengemukakan sebarang cuti sakit.

“Beliau tidak memberi sebarang surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kepada saya yang mengatakan dia sakit. Beliau hanya menyerahkan cuti sakit dua bulan sebelum (kehilangan).

“Saya sendiri juga sudah cuba untuk melawat di rumahnya, tetapi tidak dapat menemui beliau,” katanya.

Keadaannya itu menurutnya, boleh disifatkan sebagai ‘hilang’.

Katanya, mengikut undang-undang, seorang Datuk Bandar layak mengambil cuti sakit selama 90 hari.

“Malangnya tempoh tiga bulan itu juga telah tamat tempoh dan kita belum menerima sebarang perkembangan daripada beliau.

“Di pihak kerajaan, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berlarutan sebaliknya perlu mengambil tindakan yang wajar untuk menyelesaikannya,” katanya.

Zamri, 52, dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 2015 bagi menggantikan Datuk Harun Rawi.

Kali terakhir beliau dilihat adalah pada acara berbasikal, Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI, Steven Tiw Tee Siang menyifatkan lantikan Datuk Bandar baru perlu bagi memastikan semua gerak kerja berkaitan PBT berjalan lancar.

Bagaimanapun katanya, orang ramai tidak perlu mensensasikan atau membuat sebarang spekulasi mengenai keadaan semasa Zamri.

“Tidak perlu mengaitkan masalah kesihatan seseorang dengan keupayaannya untuk berkhidmat. Tiada siapa yang mahu jatuh sakit sehingga mereka tidak dapat berkhidmat lagi.

“Cumanya, kita memerlukan seorang Datuk Bandar bagi meneruskan usaha menjadikan Ipoh sebuah bandar bersih, hijau dan maju,” katanya.

Usaha mendapatkan maklum balas daripada Zamri tidak berjaya apabila beliau gagal dihubungi pemberita – sinar harian