IPOH: Negeri Perak berbangga dengan pencapaian 56 atlet anak negeri itu yang berjaya menyumbang 36 pingat untuk negara dalam Kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur – KL2017 yang berakhir hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, daripada 36 pingat yang disumbangkan itu, 21 daripadanya merupakan pingat emas manakala bakinya ialah tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Perak yang telah beraksi dengan cemerlang pada Sukan SEA KL2017 kali ini. Saya mewakili kerajaan negeri dan rakyat Perak mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas.

“Walaupun ada yang memenangi pingat dalam acara individu dan juga berkumpulan namun bagi kita (kerajaan negeri), ianya satu pencapaian yang amat cemerlang dan sekaligus telah mencatat sejarah baharu untuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, hari ini.

Dr Zambry turut memberitahu, pencapaian keseluruhan negara dalam sukan dwi tahunan itu pada kali ini merupakan satu manifestasi yang cukup jelas dari rakyat Malaysia dalam menyambut kemerdekaan negara yang ke-60.

“Negara telah berjaya mencatat sejarah baharu dengan rekod 145 pingat emas secara keseluruhannya, ini merupakan manifesti ‘sehati sejiwa’ yang diamalkan oleh kita semua.

“Lebih membanggakan ianya melibatkan semua kaum termasuk Orang Asli. Ini adalah kejayaan rakyat Malaysia. Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atas kejayaan besar ini,” ujar beliau.

shahrul zaman hiasanSementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, semua atlet yang berjaya meraih pingat dalam Sukan SEA KL2017 akan diberi insentif khas oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN).

“Insentif akan diberikan mengikut pencapaian. Bagi acara individu, RM3,000 akan diberikan kepada pemenang pingat emas, RM2,000 untuk pingat perak dan RM1,000 untuk pingat gangsa.“

Bagi acara berkumpulan pula, RM1,000 untuk pingat emas, RM750 untuk pingat perak dan RM500 untuk pingat gangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Tambah beliau lagi, kejayaan yang dilakar oleh anak-anak Perak itu merupakan bukti keberkesanan program pembangunan sukan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Ianya sudah tentu merupakan satu isyarat kepada kita untuk meneruskan apa yang diamalkan ketika ini supaya kecemerlangan ini dapat diteruskan oleh atlet-atlet pelapis anak Perak yang akan datang.

“Kita mengharapkan juga ia dapat memberi semangat kepada atlet-atlet kita yang bakal beraksi pada SUKMA 2018 (Sukan Malaysia) yang mana kita akan mejadi tuan rumah,” jelas beliau.