MANJUNG: Perancangan yang diatur antara kerajaan negeri Perak dan kerajaan Persekutuan di Kampung Teluk Pencalang, Permatang mampu membangunkan kawasan itu yang sinonim dengan penempatan nelayan kecil.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan telah dilaksanakan bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi memastikan kemudahan buat penduduk di kawasan tersebut.

“Bancian telah dibuat dari segi bilangan di kawasan ini supaya ia dapat menjadi tumpuan ramai, umpamanya kita ada restoran makanan yang sudah popular dengan makanan nasi berlauk gulai ikan kembung dan pari.

“Oleh kerana itu saya hadir bersama ketua-ketua jabatan untuk meninjau perkembangan setakat ini, disertai dengan Pengerusi Persatuan Nelayan Manjung untuk kita dengar perkara-perkara berkaitan mereka yang menyentuh kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri lawatan ke Projek Pembinaan Sekolah Rendah Agama Rakyat Nurussalam di Taman Manjung Baru serta lawatan ke Kampung Permatang.

Terdahulu Dr. Zambry meninjau perkembangan pembinaan Sekolah Rendah Agama Rakyat Nurussalam yang dijangka akan dibina dan siap pada tahun hadapan.

Selain itu beliau juga berbincang dengan Pegawai Daerah Manjung untuk melihat semula struktur Surau Kampung Pematang yang memerlukan kerja-kerja penambahbaikan atau pembinaan semula.