IPOH: Walaupun berlainan parti, kerajaan negeri Perak bersedia menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah meminta Lembaga Air Perak (LAP) menghubungi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberi bantuan yang diperlukan.

Beliau menegaskan, di dalam keadaan musibah seperti banjir yang berlaku sekarang, negeri-negeri jiran mestilah bersedia untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

“Kita turut bersimpati apa yang berlaku di Pulau Pinang, saya telah meminta LAP menghubungi PBAPP untuk uruskan bantuan yang diperlukan.

“Dalam masa bencana alam, ia harus merentasi batas politik dan adalah menjadi tanggungjawab negeri-negeri bersebelahan untuk menghulurkan bantuan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, beliau akan melawat beberapa kawasan banjir di Hulu Perak, khususnya di Lenggong, petang ini, bagi melihat sendiri kawasan yang terkesan banjir seperti di Kg Sumpitan dan Kg Malau.

Banjir di kampung-kampung tersebut telah surut dan semua mangsa

Menurut beliau, walaupun banjir di kawasan tersebut tidaklah begitu serius, tetapi kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkenaan sentiasa membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa.

“Ia masih terkawal dan kita akan terus memantau, khususnya di sepanjang jajaran Sungai Perak,” ujarnya sambil memberitahu, setakat ini masih terdapat 21 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di daerah Hulu Perak.

Selain itu, sebuah pusat penempatan sementara di daerah Perak Tengah juga masih dibuka di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga yang menempatkan 108 mangsa daripada Kg Simpang Tiga dan Kg Serapoh.