IPOH: Kerajaan negeri Perak sentiasa berusaha untuk memasarkan produk usahawan bumiputera keluar negara melalui pelbagai program.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah pemadanan perniagaan (business matching).

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa usaha itu kerap menemui jalan buntu kerana beberapa kekangan di kalangan usahawan tempatan sendiri.
Beliau memberi contoh, usaha pemadanan yang cuba dilakukan antara usahawan bumiputera Perak dengan usahawan dari Sumatera Utara tidak berjaya kerana tiada sijil halal dan pengeluaran (volume) tidak mencukupi.

“Mereka mahu volume kira-kira sejuta sebulan tetapi usahawan kita hanya mampu keluarkan seratus ribu sahaja,” katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup Karnival Technopreneur Perak 2016 di Dataran Angsana Mall di sini pada Ahad.

Karnival anjuran bersama kerajaan negeri Perak dan Giatmara.

Hadir sama Pengerusi Giatmara, Datuk Azian Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara, Jamal Nasir Othman.

Karnival selama tiga hari mulai Jumaat lalu itu melibatkan 50 gerai dengan 100 usahawan yang menjual pelbagai produk dan perlhidmatan.

Samsudin berkata, kerajaan negeri tidak berputus asa untuk membantu usahawan tempatan dengan memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Negeri Perak 2016 – 2020.

“Kita buat secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan), kerajaan negeri melalui UPEN mewujudkan pusat sehenti untuk melaksanakan enam fokus utama pelan strategik,” ujarnya.

Di majlis itu, Samsudin turut menyampaikan sijil kepada 61 usahawan rintis Giatmara Perak yang dibimbing oleh institusi latihan itu.