IPOH: Kerajaan negeri Perak membatalkan pemakaian Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2017 (UUK Tred 2017) yang memberikan kadar kenaikan lesen di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas peniaga dan rakyat yang bimbang kenaikan berkenaan memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, jika akta itu terus diguna pakai, dijangka berlaku kenaikan kadar lesen antara 100 peratus hingga 400 peratus.

“Kadar baharu lesen ini telah menunjukkan perbezaan amat ketara berbanding sebelum ini, perkara ini telah kita perincikan dan dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri, semalam.

“Setelah meneliti kesemua aspek, kerajaan negeri sebulat suara memutuskan agar pemakaian UUK Tred 2017 ini dibatalkan, dengan itu tiada sebarang kenaikan kadar lesen di semua 15 PBT di negeri ini,” katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, dengan pembatalan itu, UUK Tred 1989 yang digunakan sebelum ini akan diwartakan semula.

Katanya, UUK Tred 2017 telah diluluskan oleh pentadbiran terdahulu bertujuan untuk menyeragamkan syarat-syarat pelesenan dan membantu dalam meningkatkan hasil PBT.

“Bagaimanapun, kita berpendapat untuk meningkatan pendapatan PBT bukan sekadar dengan menaikkan caj, apa yang lebih penting adalah soal kebajikan terus terbela.

“Dasar baru yang kita buat ini adalah selari dengan janji dalam manifesto PH pada PRU14 lalu,” ujarnya.

Beliau memberitahu, selaras dengan pembatalan itu, semua PBT akan membuat pemotongan atau pelarasan semula tahun hadapan kepada semua peniaga yabg telag membuat pembayaran.